Selamat Hari Raya Aidilfitri

| 7 ulasan



Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada rakan-rakan bloggers, rakan-rakan yang menyokong UMNO/BN, rakan-rakan yang menyokong PR tidak dilupakan juga rakan-rakan yang tidak memihak kepada mana-mana.

Saya juga ingin memohon maaf sekiranya ada penulisan saya mungkin tidak disenangi oleh sesetengah pihak. Jika ada yang tersalah ataupun terkasar bahasa, ampun maaf dipinta.

Diharap lembaran kali ini membawa erti kehidupan yang baru.

Sekali lagi, Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf zahir dan batin.

Tulus ikhlas,

My. Baca seterusnya...

Harakah? Hurakah? Atau Haprakah? - MalaysiaKini



Utusan Meloya, Berita Hairan, TV3 Suku itulah gelaran yang diberikan kepada media arus perdana atau boleh dikatakan media propaganda kerajaan BN, atas alasan berita yang mereka khabarkan lebih merupakan propaganda dari UMNO/BN. Tetapi bagaimana pula pesanan yang ingin disampaikan oleh Harakah? Keadilan? Apakah mereka juga bukan alat propaganda PR?

Baru-baru ini saya terserempak dengan sebuah forum yang sememangnya pro-UMNO. Sebuah tajuk telah dibuka berkisar tentang harga minyak runcit yang kerajaan sepatutnya beri kepada rakyat. Setelah puas menanyakan soalan kepada pembuka tajuk tersebut, didapati pembuka tajuk tersebut hanya pandai "cut & paste" maklumat yang didapati daripada Harakah. Lidah rasmi PAS.

Berikut merupakan formula yang telah dihebahkan kepada umum oleh Harakah.

Harga Minyak Global 1 Tong = USD 92.70 (bersamaan dengan RM 319.82)
1 Tong bersamaan dengan 159 liter
Nilai Ringgit sekarang berbanding Dolar = RM 3.45
Harga satu liter > RM 319.82 / 159 liter = RM 2.01

Subsidi kerajaan = RM 0.30
Harga sepatutnya > RM 2.01 - RM 0.30 = RM 1.71 (harga sepatutnya)
Harga sekarang = RM 2.45 sen

Beza kerajaan tipu Rakyat Malaysia = RM 2.45 - RM 1.71 = RM 0.74 per liter.


Formula yang diguna pakai oleh Harakah lebih kurang sama dengan formula yang saya gunakan, boleh rujuk semula disini. Terdapat beberapa ralat didalam formula Harakah tersebut.
  1. Tiada kos pengangkutan dan lain
  2. Harga minyak mentah global bukanlah $92.70/tong
Mungkin ada yang bertanya dimana saya mendapat kos pengangkutan tersebut? Dimana sumber saya bagi formula tersebut? Ianya dari akhbar TheStar, sehari sejurus kerajaan menaikkan minyak secara mendadak. Dan mungkin juga ada yang akan berkata harga $92.70/tong itu adalah harga minyak mentah yang PERNAH menjunam dahulu dan bukan harga sekarang.

mase artikel ni ditulis memang minyak masih di bawah USDS100..tetapi sejak bape hari lepas minyak mengalami kenaikan sedikit..so harga skrg tidak sama...

Untuk rekod, artikel tersebut ditulis dan terbit pada tanggal 25 Sept 2008. Harga tertinggi minyak mentah pada tarikh tersebut adalah $108.55 dan harga PALING rendah adalah $103.35.



Persoalannya bagaimana Intan Abdullah(penulis artikel) mendapat harga $92.70/tong? Atau beliau ingin mengelirukan pembaca? Atau beliau ingin menghasut pembaca supaya lebih membenci kepada kerajaan?

Sesungguhnya kalau orang munafik dan mereka yang dihatinya ada penyakit dan penggempar-penggempar (penghasut-penghasut) di Madinah tidak menghentikan (kegiatannya) sudah tentu kami akan perintahkan engkau menyerang mereka, kemudian mereka tiada dapat tinggal berjiran dengan engkau kecuali sementara waktu saja.


- al-Ahzab:60
Jika tiada logik pada harga tersebut, saya fikir artikel Harakah tersebut juga tidak mempunyai bukti yang kukuh untuk mengatakan kerajaan menipu rakyat Malaysia. Dan ini menunjukkan berita ini hanyalah satu fitnah dah propaganda dari mereka yang tidak bertanggungjawab.

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.


- al-Hujurat:6
Banyak lagi kes kita boleh lihat bagaimana Harakah cuba menyembunyikan fakta atau berita yang menyelebelahi kerajaan. Lihat sahaja kes ahli Keadilan(muslim) baru-baru ini yang telahpun mengaku mengadakan zina,

Saya telah diberikan seorang wanita China oleh Mohammad Imran dan pada malam tersebut saya telah melakukan hubungan seks dengan wanita itu di dalam sebuah bilik di Sri Sayang Apartment.


Adakah Harakah menerbitkan berita tentang perihal tersebut? Tidak. Kerana apa? Malu atau takut rakyat tahu perangai sebenar pejuang dan pemimpin PR? Adakah ini ketelusan didalam PR? Menutup segala keburukkan yang terang lagi tersuluh.

Suara keadilan, sebuah lagi akhbar terbitan PKR juga pernah memfitnah Musa Hasan yang kononnya beliau lumpuh dan berada dalam keadaan nazak selepas menjalani pembedahan pintasan koronari(rujukan: malaysiakini), tetapi apa cerita sebaliknya? Sama sekali tidak benar.

Dalam edisi terbaru Suara Keadilan, kami telah menerbitkan pembetulan dan menarik balik berita mengenai kesihatan Ketua Polis Negara.


Jadi mereka ini juga boleh dikatakan sebagai agen propaganda PR dan bukannya media yang telus. Saya berharap sangat jika Harakah(atau kita patut panggil Haprakah: Lidah bercabang PAS?) lebih telus dan menerbitkan berita yang kualitinya tinggi supaya suatu hari nanti boleh menggantikan media perdana. Janganlah pandai mengkritik orang lain tetapi tidak sedar diri sendiri pun tidak betul dan cuba menyembunyikan perkara buruk diri sendiri.

Kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak


Baca seterusnya...

Teresa Kok: Terlupa, Tersasul dan Terhina.



Sekali lagi satu kontrovesi melanda exco kanan kerajaan Selangor ini. Jika dahulu beliau ditahan dibawah ISA akibat kenyataan beliau dilaman blognya yang dikatakan oleh polis boleh menyebabkan ketengangan kaum dan agama, kini setelah dilepaskan oleh pihak polis, Teresa tersasul pula.

Ini bukan kali pertama Teresa terlupa, sudah banyak kali beliau terlupa. Mengenai petisyen aduan penggunaan pembesar suara masjid pun beliau pernah terlupa juga. Seorang pembaca blog beliau pernah menanyakan soalan mengenai khabar angin tersebut dan ini jawapan beliau.

Hi Sinatra, I know nothing about the case. Please note that I am a state executive councillor or state minister. Since Satim is only an opposition back bencher, why should I present a petition to him? It should be he who presents the petition to me. Those guys that spread this kind of untrue news seem don’t have any knowledge about our roles. They have forgotten that Satim has become an opposition ADUN. Do I need to sign a SD?


Tetapi setelah tersebar luas dimedia arus perdana, dan begitu ramai yang bertanyakan soalan tersebut, ini pula jawapan beliau.

Selepas itu, saya diberitahu oleh bekas pembantu pejabat perkhidmatan Kinrara saya bahawa penduduk yang membantah tentang bunyi azan tersebut pernah menghantar salinan petisyen tersebut ke pejabat saya dan minta bekas pembantu saya untuk "acknowledge receipt" dengan cop pejabat saya dalam surat mereka.


Lain sungguh tonasi Teresa sebelum dan selepas? Mengapa sebelum ini begitu beriya-iya menafikan perkara tersebut hingga sanggup mengatakan kepada pembaca blog beliau yang beliau TIDAK tahu apa-apa tentang kes tersebut? Nah, selepas dua bulan? Adakah exco begini yang kita mahukan?

Dek kerana beliau menghuru-harakan keadaan dengan memperbesarkan isu tersebut didalam blognya, beliau telah ditahan bawah ISA bagi mententeramkan keadaan dan tidak memudaratkan lagi keadaan. Semasa beliau didalam tahanan, beliau sempat menyaman Utusan sebanyak RM30 juta atas alasan, akhbar Utusan memfitnah dan merosakkan nama baiknya. Beliau hanya ditahan selama tujuh hari dalam penjara di balai- polis “antara Sentul dan Jalan Ipoh”.

Setelah dibebaskan, beliau segera membuat kenyataan media(PC) cuba memburuk-burukkan layanan ketika didalam tahanan.

Ahli parlimen Seputeh itu juga mendakwa, beliau dijamu “seperti makanan anjing” - dua butir telur rebus, timun dan kuah dua kali sehari pada waktu makan tengah hari dan makan malam.


Kenyataan ini dipetik oleh Utusan dari MalaysiaKini dan kemudian menulis ulasan didalam akhbar mereka. Tiga hari kemudiannya Teresa tidak berpuas hati dengan kenyataan beliau sendiri dan mungkin takut apa yang didakwanya sebelum itu tidak benar(yang sememangnya tidak benar langsung) dan dihebahkan kepada media, beliau sekali lagi membuat PC bagi memperbetulkan kenyataannya sebelum ini.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim hari ini mendakwa makanan yang diberikan kepadanya ketika ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah `lebih baik sedikit daripada makanan anjing’.


Dan apa yang lebih menarik lagi, beliau menyalahkan Utusan yang didakwanya memutarbelitkan kenyataannya berhubung perkara itu. Benarkah begitu? MalaysiaKini saya fikir adalah lidah rasmi PR/DAP, mengapa MalaysiaKini tidak dipersalahkan? Mungkin ada yang masih tidak percaya, lihat sahajalah kenyataan beliau sendiri sebelum dan selepas didalam klip video tersebut.



Jadi sekarang, siapa yang sebenarnya pemutarbelit? Anda sudah lihat video tersebut? Adakah Teresa akan menafikan sekali lagi? Jika hari ini beliau sanggup menipu dan mendakwa orang lain atas kesalahan sendiri, adakah kita harus mempercayai kenyataan beliau mengenai petisyen laungan azan tersebut yang dimana beliau menafikannya sekeras-kerasnya?

baling batu sembunyi tangan


Inilah dia ahli politik yang hanya mementingkan diri sendiri. Sanggupkah kita memberi undi kepada beliau lagi?

Untuk pengetahuan umum, MalaysiaKini tidak menyiarkan pun berita tentang isu putarbelit makanan anjing oleh Teresa sehingga hari ini. Mengapa akhbar yang dikatakan neutral dan tidak berat sebelah tidak mahu memaparkan berita tersebut? Diharap pembaca dapat memikirkan hal ini sejenak.

p/s: saya syorkan kepada Utusan memfailkan saman terhadap Teresa RM50 juta, atas alasan membuat kenyataan fitnah dan juga merosakkan nama baik Utusan.
Baca seterusnya...

Gambaran Anwar Diambang PM - MalaysiaKini

| 5 ulasan



8 Mac
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-12, PKR, Pas, DAP dan seorang Bebas memenangi 82 daripada 222 kerusi Parlimen. Pakatan pembangkang memerintah di lima negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

1 April
Anwar mengumumkan PKR, Pas dan DAP membentuk Pakatan Rakyat (PR) untuk menyatukan kerjasama antara mereka.

23 April
Di Kota Kinabalu, Anwar berkata, PR sudah bersedia untuk membentuk kerajaan dan mempunyai cukup Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang bersedia melompat parti.
Anwar juga menegaskan pertukaran kerajaan akan berlaku selewat-lewatnya pada 16 September iaitu hari pembentukan Malaysia.

24 April
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tiada seorang Ahli Parlimen BN akan melompat parti dan mendedahkan Anwar "sedang mengarah sebuah permainan politik".

25 April
Anwar mengulangi keyakinannya untuk memerintah negara dan mewujudkan kerajaan baru kemungkinan pada bulan Jun, Julai atau 31 Ogos namun tetap tidak melebihi tarikh 16 September.

28 Jun
Bekas pembantu Anwar, Mohd. Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polis mendakwa dia telah diliwat majikannya.

3 Julai
Naib Presiden PKR, Azmin Ali berkata kemungkinan terdapat penangguhan pada rancangan mereka membentuk kerajaan baru tetapi ia tetap menyatakan 16 September sebagai tarikh Anwar menjadi Perdana Menteri.

10 Julai
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menyerahkan notis usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia di pejabatnya di bangunan Parlimen.

31 Julai
Dr. Wan Azizah meletak jawatan sebagai Anggota Parlimen Permatang Pauh berkuat kuasa serta-merta bagi memberi laluan kepada suaminya, Anwar untuk bertanding pada pilihan raya kecil Permatang Pauh.

26 Ogos
Anwar mengekalkan penguasaan PKR di kerusi Parlimen Permatang Pauh apabila memenangi pilihan raya kecil kawasan itu. Dia menyatakan kerajaan baru akan dibentuk menjelang 16 September.

8 September
Seramai 49 anggota Parlimen BN berlepas ke Taiwan bagi melakukan lawatan sambil belajar mengenai teknologi pertanian yang diamalkan di negara kepulauan itu namun didakwa pembangkang sebagai langkah untuk menyekat perubahan pemerintahan.

12 September
Pemimpin PKR berlepas ke Taiwan selepas anggota Parlimen BN dalam perjalanan pulang ke Malaysia.
PKR mendakwa memperoleh cukup ahli untuk membentuk kerajaan baru pada 16 September namun ia tidak berlaku walaupun ia tetap mendakwa proses itu akan terjadi dalam sedikit masa lagi.

15 September
Anwar yakin boleh menubuhkan kerajaan baru tetapi memberi tempoh dua minggu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mengadakan rundingan.

16 September
Anwar yang mengadakan sidang akhbar di Petaling Jaya mendakwa mempunyai senarai 31 nama Ahli Parlimen BN yang akan melompat parti tetapi enggan mendedahkan nama-nama wakil rakyat terlibat.

Bersambung.....

Ulasan: Senario yang bakal berlaku sampai bila-bila.
Baca seterusnya...

Anwar: Dahulu, Kini Dan Selamanya - MalaysiaKini

| 8 ulasan



Bunyi tajuk kali ini mungkin semacam slogan UMNO, tetapi tidak. Ia nya berkisar perihal saudara Anwar yang beliau sendiri canangkan akan menukar dan menumbangkan kerajaan sekarang menjadi kerajaan baru mengikut pintu belakang semalam. Tarikh yang dinantikan itu, bukan tarikh yang dicipta atau ditentukan oleh BN mahupun dari DAP dan juga PAS, tetapi ia nya ditentukan oleh Anwar sendiri.

Hari ini pada tanggal 17hb Sept, kerajaan masih belum ditumbangkan. Apa dah jadi? Dimanakah MP-MP yang dikatakan bakal melompat tersebut? Hairan. Namun begitu Anwar masih lagi bersandiwara dan beliau mengatakan beliau mempunyai bilangan yang cukup. Sandiwara terbaru?

Ini bukanlah kali pertama saudara Anwar membuat kenyataan yang boleh dikatakan "flip-flop". Jika kita singkap beberapa tahun dahulu, Anwar sungguh suka membuat kenyataan baru yang bertentangan dengan kenyataan lama beliau.

Knowing the way the institutions have been controlled by the executive, I don't think a release would have been possible unless the Prime Minister had made it clear he had no intention of interfering [with the judiciary].


Ini yang dikatakan pada majalah time yang tidak ada kena mengena dengan parti-parti Malaysia(mungkin PKR). Apa yang dimaksudkan Anwar adalah, beliau beterima kasih kepada PakLah kerana tidak mencampuri urusan penghakiman(kes liwat-1). Namun begitu selepas empat tahun berlalu, beliau membuat kenyataan yang berbeza pula.

I have sufficient evidence to show that the decision (to charge) will not be done without the personal instruction from the prime minister, Their involvement further undermines the credibility of the case and proves that the entire conspiracy hatched against me is politically motivated


Kali ini, beliau mengatakan PakLah secara langsung terlibat dengan aduan kes liwat pembantunya sendiri. Mengapa begitu marah pada PakLah? Tidak lama kemudian, beliau membuat kenyataan sanggup bersumpah dengan nama Allah bagi membersihkah nama baiknya.

Jika mahu saya bersumpah dengan nama Allah, insya-Allah saya akan lakukan


Sebulan kemudian,

Saya tidak akan bersumpah berhubung tuduhan liwat terhadap saya


Ini pula keterangan beliau tentang ingin bekerja sama dengan pihak polis bagi mempermudahkan siasatan terhadap aduan liwat Saiful.

Take my DNA, take my hair. My hair is everywhere, except this part


Seperti biasa, selang beberapa hari, Anwar memutar belit dan enggan memberi sampel DNA dirinya.

Keengganan kami untuk menyerahkan sampel DNA terbukti benar dan tepat


Ini merupakah beberapa contoh, bagaimana apabila beliau berhujah dan memberi keterangan, isi-isi yang dibentangkan hari ini tidak sejajar dengan apa yang dikatakan sebelum ini dan mungkin akan datang. Dan ini membawa kita kepada isi penting artikel kali ini, tanggal 16hb September. Tarikh yang begitu keramat kepada PR khususnya PKR lebih khusus kepada saudara Anwar sendiri.

Tapi apa yang dinantikan datang dan pergi, berikut merupakan lagi beberapa kenyataan Anwar sebelum dan semasa diambang 16 Sept,

Kita sudah ada jumlah (wakil BN yang akan melompat kepada Pakatan), dan kita telah bersedia. Hari ini 16 September, esok 17 September, kita bersedia membentuk kerajaan


Begitu yakin sekali bukan? Tetapi apabila tiba tarikh 16 Sept? Apa pula alasan beliau?

Saya bukan mahu memberi alasan. Kita ada jumlah yang mencukupi. Kita boleh dan bersedia untuk melakukannya. Jika selepas beberapa hari, tidak ada respons, pemimpin Pakatan akan bertemu dan menentukan tindakan selanjutnya. Saya percaya beliau akan bertemu dan kita perlu menunggu hari ini atau esok.


Nampaknya Anwar memberi peluang pula kepada PakLah supaya menyerahkan kuasa pula? Dilaporkan juga Anwar telah memberi senarai nama-nama mereka yang bakal lompat kepada PakLah. Apa yang saya hairan, jikalau benar beliau mempunyai jumlahnya, mengapa tidak siarkan sahaja kepada media? Bukankah selepas mengambil alih, nama tersebut akan dipaparkan juga? Lucu bukan? Nampaknya tertangguh lagilah pelan perangcangan impiannya menjadi PM ke-6.

Rasulullah SAW pernah bersabda

Tanda orang-orang munafik itu ada tiga keadaan. Pertama, apabila berkata-kata ia berdusta. Kedua, apabila berjanji ia mengingkari. Ketiga, apabila diberikan amanah (kepercayaan) ia mengkhianatinya


- HR Bukhari dan Muslim
Ciri-ciri Orang Munafik:
  1. Apabila berkata maka dia akan berkata bohong/dusta.
  2. Jika membuat suatu janji atau kesepakatan dia akan mengingkari janjinya.
  3. Bila diberi kepercayaan/amanat maka dia akan mengkhianatinya.
Jika sesorang itu mempunyai ciri-ciri seperti yang disebut oleh Rasullullah, maka kita boleh memanggil orang itu seorang yang munafik! Persoalannya, sanggupkah kita berjuang untuk orang munafik? Sanggupkah kita bersekongkol dengan orang munafik? Sanggupkah kita angkat seorang munafik menjadi pemimpin kita? Fikirkanlah dengan masak-masak.

Dan janganlah mentaati orang-orang yang tidak percaya, dan orang-orang munafik


- al-Ahzab:48
Baca seterusnya...

Aduan Pembesar Suara Masjid, Islam Semakin Lemah - MalaysiaKini

| 4 ulasan



Apakah sebenarnya motif aduan petisyen tersebut? Sedikit demi sedikit Islam semakin lemah dinegara sendiri, yang dimana Islam adalah agama rasminya. Sedikit demi sedikit Islam ditolak ketebing gaung yang dalam. Sedikit demi sedikit Muslim ditindas. Itulah yang boleh saya katakan.

Pengerusi jawatankuasa masjid Kinrara berkata pihaknya memang ada menerima petisyen yang ditandatangani oleh 189 penduduk bukan Islam di seksyen 5 dan kawasan sekitarnya, pada pertengahan Februari lalu yang mendakwa penggunaan pembesar suara di masjid itu mengganggu ketenteraman mereka.


Berikut disiarkan petisyen tersebut






Setelah menyemak nama-nama tersebut, memang mereka ini wujud dan bukan nama-nama rekaan.



Dan apa yang didapati bahawa petisyen tersebut mempunyai kaitan dengan dengan kepentingan politik pihak-pihak tertentu, ini kerana aduan dibuat berdekatan tarikh pilihanraya umum pada 8 Mac lalu. Saya pernah menulis perihal sebuah parti politik yang saya fikir anti-islam disini berdasarkan kepada asas dan juga bukti yang kukuh. Pembaca boleh menilai sendiri.

Apa yang menyedihkan lagi adalah, ahli Parlimen PAS bagi Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud telah membuat polis terhadap bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang dilaporkan mendakwa ada usaha pihak yang dipercayai didalangi salah sebuah parti yang membentuk kerajaan Selangor, membuat petisyen membantah azan di Puchong

Kurang jelas mengapa Siti Mariah membuat laporan polis tersebut, yang kononnya akan menggangu gugat keharmonian kaum? Sepatutnya beliau membuat laporan polis terhadap penduduk Puchong tersebut, ini kerana mereka yang mempertikaikan azan!

Selepas itu, saya diberitahu oleh bekas pembantu pejabat perkhidmatan Kinrara saya bahawa penduduk yang membantah tentang bunyi azan tersebut pernah menghantar salinan petisyen tersebut ke pejabat saya dan minta bekas pembantu saya untuk "acknowledge receipt" dengan cop pejabat saya dalam surat mereka.


Seperti yang saya katakan sebelum ini, ini bukanlah kali pertama, perkara sama pernah berlaku 3 tahun sebelum ini, boleh rujuk artikel saya disini. Dan pada waktu itu PAS membantah perihal ini

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) kesal dengan tindakan Ahli Parlimen DAP dari Kepong, Dr Tan Seng Giaw yang masih lagi membangkitkan isu azan yang didakwa mengganggu ketenteraman masyarakat bukan Islam di negara ini.


Hairan, mengapa kini seorang ahli yang dikatakan mendokong prinsip keislaman tidak membuat apa-apa tindakan terdahap mereka(bukan Islam) tersebut tetapi orang Islam(Khir) pula dihukum? Mungkin apabila petisyen tersebut sampai dikawasan beliau baru beliau melatah? Atau kerana PAS sudah sememangnya tidak memperjuangkan Islam lagi atas desakan rakan-rakannya didalam PR?

Karpal Singh hari ini mendesak PAS supaya menggugurkan agenda parti itu untuk menubuhkan negara Islam.


We must recognise that Islam is the country’s official religion but it is impractical to turn multiracial and multi-religious Malaysia into an Islamic state


Inilah terjadi apabila Muslim sendiri menjadi tali-barut kepada anti-Islam dek kerana mahukan kuasa. Adakah ini sebenarnya pendirian PAS? Perlukah kita memberi undian kepada mereka lagi? Memang benarlah sabda Rasullullah,

Bahkan masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh. Mereka ibarat buih di laut.

Baca seterusnya...

Minyak: Mengapa Kerajaan Menindas Rakyat? - MalaysiaKini



Pada 1 Sept lepas, sepatutnya rakyat Malaysia mendapat penurunan harga runcit minyak sebanyak 5sen/liter berdasarkan formula disini. Harga minyak dunia sekarang berlegar pada aras $110/tong, dan jika kiraan saya tepat, sepatutnya kita menikmati durian runtuh dengan harga minyak runcit sebanyak RM2.37/liter.

Tetapi perkara ini tidak berlaku kerana Shahrir Samad telah berdusta. Dan PakLah pula memberi jaminan harga minyak runcit hanya akan turun jika pada kadar bawah $110 sehingga akhir tahun ini? Hairan, kita terpaksa menunggu sehingga akhir tahun? Mengapa perlu begitu? Dimanakah dasar prihatin kerajaan terhadap rakyat? Jangan apabila sampai 15hb baru ingin menurunkan harga minyak runcit kerana takut ditumbangkan.

Semalam, sekali lagi Shahrir Samad membuat kenyataan yang boleh dikatakan kurang cerdik.

Syarikat-syarikat yang memberi hadiah petrol ini diminta menghentikannya sebab ia menggunakan subsidi kerajaan dan sekali gus melibatkan perbelanjaan wang rakyat.


Saya rasa amat sedih dan agak terkejut dengan kenyataan begini. Sudahlah kita terpaksa membayar lebih untuk minyak, sekarang dia pula tidak mahu apa-apa hadiah dalam bentuk minyak?

Sudah jatuh ditimpa tangga

Tindakan ini boleh dikatakan 'meragut' peluang rakyat untuk meringankan beban yang dihadapi oleh kita! Ini juga bukan kali pertama kerajaan membuat penilaian yang berat sebelah dan tidak memikirkan perihal hak-hak pengguna.

Pada tahun 1998, stesyen-stesyen minyak di Malaysia pernah berlumba-lumba mengurangkan harga minyak mereka. Perang harga minyak tersebut bermula dengan stesyen minyak Esso(Rujukan: Utusan 03/06/1998). Tetapi perang tersebut terbantut kerana campur tangan daripada kerajaan. Kes yang sama berulang 10tahun kemudian, dengan kerajaan menghalang pemberian minyak sebagai hadiah.

Apakah pemberian hadiah itu menyalahi akta barang kawalan? Jika begitu, bagaimana pula dengan hadiah pertandingan lain dalam bentuk keperluan asas seperti tepung dan minyak yang juga merupakan barangan yang disubsidi


Adakah dakwaan Shahrir benar? Apakah benar perbelanjaan subsidi sekarang ini adalah wang rakyat? Sekarang rakyat negara ini membayar lebih daripada harga minyak dunia.

seperti menegakkan benang yang basah

Berdasarkan pengiraan saya, harga yang kita bayar sekarang adalah untuk harga minyak $116.83/tong dan harga sekarang adalah $110/tong. Secara kasar kita membayar 5.85% lebih kepada kerajaan. Jumlah ini bermakna rakyat pula memberi subsidi kepada kerajaan sebanyak RM82.39juta untuk minggu ini sahaja!!(Kiraan ini berdasarkan pembayaran Petronas kepada kerajaan untuk tahun kewangan berakhir 31Mac2008. Boleh rujuk disini) Ini merupakan suatu bentuk penindasan terhadap rakyat!

Saya berharap sangat kerajaan menyemak semula harga minyak runcit kerana, padahnya bukan setakat kepada rakyat, malah kerajaan sendiri akan merasakan bahangnya. Jika rakyat miskin, kuranglah kutipan cukai/duti/etc. Jika kurangnya cukai/duti/etc maka kuranglah juga pendapatan kerajaan dan ini membawa kepada terbantutnya ekonomi negara. Akhir sekali rakyat akan menggulingkan kerajaan akibat tekanan ekonomi.

Untuk setiap daya tindakan , terdapat satu daya tindak balas yang mempunyai magnitud sama dan bertindak pada arah yang bertentangan.


- Hukum gerakan Newton ketiga
Baca seterusnya...

Propaganda Ajaran Hindu Didalam PKR



Hari ini masuk hari ke-6 kita telah berpuasa. Saya ingin menarik perhatian pembaca kali ini terhadap sesuatu isu yang saya fikir penting, dan perlu dihebah kepada semua yang menyokong dan juga ahli PKR yang beragama Islam khususnya.

Jika kita perasan, Anwar selaku ketua/penasihat PKR selalu menyebut perkataan "Makkal Shakti" didalam ceramah-ceramahnya sebelum dan juga selepas kemenangan besar PRU lepas. Tapi adakah beliau faham maksud disebalik perkataan itu?



Secara umum ramai yang berpendapat Makkal Shakti membawa maksud kuasa rakyat, tetapi tahukah kita maksud sebenar perkataan tersebut? Atau mempunyai propaganda daripada mereka yang beragama Hindu? Mengikut Wiki, Shakti membawa maksud

'The Divine Mother'. Shakti represents the active, dynamic principles of feminine power. In Shaktism, Shakti is worshiped as the Supreme Being.

However, in other Hindu traditions of Shaivism and Vaishnavism, Shakti embodies the active energy and power of male deities (Purushas), such as Vishnu in Vaishnavism or Shiva in Shaivism. Vishnu's shakti counterpart is called Lakshmi, with Parvati being the female shakti of Shiva.


Rujukan: Wikipedia
Ianya adalah nama seorang dewa didalam ajaran Hindu! Malah ianya juga merupakan satu lagi cabang didalam ajaran hindu yang dipanggil Shaktism. Saya tidak mahu membuat andaian melulu tentang pegangan agama Anwar, tetapi samada dia sengaja ataupun tidak perasaan, Anwar telahpun menyekutukan Allah dengan melaung-laungkan mereka ini adalah 'Rakyat Shakti'. Rakyat kepada dewa hindu bernama shakti

Apabila engkau meminta, maka mintalah kepada Allah, dan apabila engkau memohon pertolongan maka pohonlah pertolongan itu kepada Allah.


- HR. At-Tirmidzi
Syirik adalah perbuatan menyekutukan Allah dalam apa juga bentuk sama ada perkataan, pegangan, perbuatan dan iktiqad iaitu dengan menjadikan suatu yang lain iaitu makhluk bernyawa atau tidak sekutu bagi Allah.(Rujukan: Wikipedia)

Apabila kita bertawakal dan bergantung kepada selain daripada Allah, ini merupakan mempersekutukan Allah dan ianya adalah syirik. Bahkan ianya boleh membatalkan Islam( Rujukan: Harakah). Mungkin apa yang dilakukan oleh Anwar adalah dengan tidak sengaja, atau kerana dia adalah naif atau tidak sedar kerana asyik melihat sokongan yang diberikan kepadanya sehingga terlupa tentang halal dan haram dan syirik khafi (tersembunyi) dan syirik jali (terang dan nyata).

Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada nabi-nabi terdahulu sebelummu, jika kamu mempersekutukan Tuhan, nescaya akan terhapuslah segala amalanmu dan tentulah kamu termasuk di kalangan orang yang rugi.


– az-Zumar:65
Tetapi jika apa yang dilaung-laungkan oleh Anwar dan pengikutnya(yang beragama Islam) tidak mempunyai niat untuk menyekutukan Allah, ianya tetap salah,makhruh dan mungkin juga berdosa. Ramai yang terjerumus dalam suatu perbuatan tanpa menyedari buruknya perbuatan tersebut. Janganlah kita terikut-ikut dengan cara sesuatu puak/kaum, kerana kita mempunyai cara kita sendiri sebagai Muslim.

Barangsiapa meniru suatu kaum, maka ia termasuk dari kaum tersebut.


- HR. At-Tirmidzi
Janganlah kita melaung-laungkan sesuatu perkataan yang kita tidak fasih atau faham, kerana takut apa yang dilaungkan kita itu mungkin terjatuh kedalam syirik khafi kerana kejahilan kita. Kes yang sama juga kita boleh berikan didalam lirik-lirik lagu didalam bahasa selain bahasa ibunda kita kerana takut terdapat propaganda jahat daripada agama lain cuba merosakkan akidah umat Islam kita ini.

Cuba kita selidiki secara mendalam perkataan yang terkandung dalam sesuatu ayat itu sebelum kita menelannya, takut-takut ada propaganda yang tersirat dan juga tersurat. Akhir kata, saya harap penyokong PR janganlah kita dengan sembrono menyebut-nyebut apa yang dilaungkan oleh Anwar.

Ada udang sebalik batu

Baca seterusnya...

Kronologi Mimpi Anwar Ke Putrajaya

| 13 ulasan



Hari ini mstar melaporkan desas-desus kononnya Anwar akan mengumumkan Ahli Parlimen(MP) yang bakal lompat parti pada sidang akhbar 11 pagi lalu.

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan siri pertemuan informal dengan wakil-wakil rakyat dari Barisan Nasional (BN) di ibu negara esok, dipercayai bagi membincangkan soal menyertai Pakatan Rakyat.

Sumber mengesahkan bahawa pertemuan itu akan diadakan selepas pertemuan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dengan ahli-ahli Parlimen parti itu berhubung Bajet 2009 dan disusuli dengan sidang media pukul 11 pagi.


Sidang akhbar tersebut juga boleh dilawati diblog Anwar sendiri disini. Malah semalam terdapat khabar angin mengatakan bahawa kononnya para Ahli Parlimen BN dari Sabah berkumpul di Istana Negara bagi membentuk kerajaan yang baru.

akum, pagi ni aku dengar 31 MP dari malaysia timur memohonj untuk mengadap YDP agong berkaitan isu nak set up new fed gov yg berperdanakan DS anwar Ibrahim..yg menariknya sms tu kata, ada MP dr johor yg akan lead..iaitu TS muhyidin yasin...


- 01/09/2008 Sumber SMS khabar angin
Namun begitu khabar angin ini dinafikan oleh Ronald Kiandee MP Beluran.

Mereka tahu Ahli Parlimen Sabah tidak akan lompat...jadi mereka cuba pancing Ahli Parlimen dari semenanjung pula menerusi sms tu


- Ronald Kiandee 01/09/2008
Jadi adakah betul-betul MP-MP BN ini akan melompat? Pada pendapat saya ianya tidak akan berlaku, kerana ini hanyalah rekaan bagi memberi tekanan kepada kerajaan BN sekarang yang agak lemah dan juga takut pada bayang-bayang sendiri.

Jika benar MP ini mahu melompat, mengapa perlu tunggu sehingga 16Sept? Tarikh tersebut merupakan tarikh simbolik dimana pada 16 September 1963 Malaya, Sabah, Sarawak and Singapore bersatu menjadi sebuah negara Malaysia. Saya tidak fikir perlunya MP menunggu tarikh tersebut jika benar mereka telah bersetuju dengan Anwar untuk menubuhkan kerajaan baru mengikut pintu belakang.

Apa-apa pun tinggal kurang dari 14 hari untuk kita menyaksikan peristiwa yang bakal mengubah negara kita ini. Samada pada 16 Sept, Anwar menjadi PM ke-7 atau pun menjadi pemutar beli nombor واحد. Berikut merupakan sinopsis kronologi yang bakal berlaku pada bulan ramadhan ini(jika Anwar berkata benar).

  • 5 Sept. Semua Parti Komponen BN dari Sabah & Sarawak isytihar keluar BN.
  • 6 Sept. Semua komponen BN dari Semenanjung keluar BN kecuali MCA & MIC.
  • 7 Sept. 10 Ahli Parlimen BN umum pindah kerusi Parlimen ke PAKATAN.
  • 8 Sept. 5 Menteri & Timbalan BN Letak Jawatan.
  • 9 Sept. Sidang Tergempar Parlimen di panggil.
  • 10 Sept. Pak Lah mengumumkan perletakan jawatan.
  • 12 Sept. Sidang Tergempar mengusulkan Anwar membentuk 'Caretaker Government'.
  • 15 Sept. Anwar mengisytiharkan pembentukan PAKATAN sebagai Kerajaan baru di TV1,TV2,TV3,Bernama TV,Awani Astro secara siaran langsung - 8:00 mlm .
  • 15 Sept. Anwar mengadap DYMM AGONG. 6:15 ptg.
  • 15 Sept. Anwar mohon restu Agong. 9:20 mlm.
  • 16 Sept. Anwar Angkat Sumpah Sebagai PM Malaysia - 10 pagi.
Sumber: TKO

Didalam politik, apa-apa pun boleh berlaku, tetapi marilah kita berpegang kepada kata-kata ini,

Saya bukan ahli politik Mat Jenin


– Hadi Awang 15/08/2008
Baca seterusnya...

Minyak Malaysia Turun 5sen Lagi Pada 1 Ramadhan Ini?

| 2 ulasan



Ahlan wa sahlan ya Ramadhan. Ramadhan adalah bulan yang penuh berkat. Diantara kelebihan bulan Ramadhan

  1. Kamu akan di naungi Ramadhan. (bagi yg telah meninggal dunia terlepas dari siksa kubur)
  2. Bulan penuh keberatan.
  3. Di malamnya ada lebih baik drpd 1000 bulan.
  4. Amal sunat sama dengan solat fardhu.
  5. Manakala solat fardhu mendpt 70 kali ganda.
  6. Bulan sabar dan pahalanya adalah syurga.
  7. Bulan menambah rezeki.
  8. Memberi buka banyak pahala.
  9. Bulan keampunan - doa yang paling makbul iaitu doa sebelum berbuka puasa; juga doa pada sepertiga malam.
  10. 10 hari pertama adalah mulanya rahmat, 10 hari pertengahan - pengampunan, 10 hari terakhir - kemerdekaan api neraka.
10 hari pertama adalah mulanya rahmat. Mungkinkah kita dapat merasakan rahmat Allah dengan penurunan minyak lagi?

Berkuatkuasa 1 Sept ini, harga runcit petrol akan diselaraskan berdasarkan harga pasaran dunia purata bulanan dan subsidi akan dikekalkan pada kadar 30 sen seliter, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.


Menjelang pilihan raya kecil(PRK) di Permatang Pauh tempoh hari, minyak telah turun sebanyak 15sen. Pak Lah telah mengatakan penurunan tersebut tiada kena mengena dengan PRK tersebut kerana memang kerajaan berhasrat menyelaraskan harga minyak runcit setiap 15 hari. Tempoh hari berlaku adalah kerana terdapatnya masalah teknikal, ini kata beliau. Dalam pemahaman saya, ini memberi maksud bahawa harga minyak baru di Malaysia akan diselaraskan pada setiap 1 haribulan dan 15 haribulan. Harga ini ditentukan oleh purata harga minyak dunia.

Jika kita ambil purata minyak bagi tempoh 15-31 harbulan Ogos lepas, rata-rata ia pada kadar $116.16 setong. Dan pada perkiraan saya, membawa kepada harga RM2.50 seliter.



Mungkinkah Pak Lah mengumumkan penurunan hari ini? Ini adalah janji beliau. Saya berharap sangat kita mula mempraktikkan penyelarasaan begini kerana harga barang runcit tidak boleh dipengaruhi lagi oleh harga minyak jika berlaku kenaikkan ataupun penurunan pada masa akan datang. Ramai diantara kita merungut

Naik banyak, turun sikit

Benarkah ini berlaku? Mari kita ambil perkiraan yang mudah. Setiap orang menerima rebet dari kerajaan sebanyak RM625 setahun. Pada kiraan kasar, RM13.02 seminggu. Saya contohnya menggunakan 18liter setiap minggu untuk pergi ketempat kerja dan bersiar-siar pada hujung minggu.



Jika kita perhatikan jadual diatas, rata-rata jika minyak naik, walaupun dengan rebet, saya terpaksa mengeluarkan sebanyak RM1.02 seminggu jika dibandingkan dengan harga lama RM1.92/liter. Dengan penurunan baru-baru ini kerajaan memberi saya sebanyak RM1.68 setiap minggu!

Durian runtuh

Bahkan jika kerajaan mengumumkan penurunan 5sen lagi hari ini, saya bakal menerima sebanyak RM123.84 setahun dari kerajaan! Ini pun jika harga minyak dunia yang bukan ditentukan oleh kerajaan kekal dengan trend penurunan dan bukan pada harga spekulatif.

Akhirkata, saya mengambil peluang ini mengucapkan selamat berpuasa kepada semua Muslim dan dibulan mulia ini harap kita dapat mempertingkatkan iman kita.

Sabar itu separuh daripada iman

Baca seterusnya...